Tuesday, December 25, 2012

pembumian elektrik



Dalam bidang kejuruteraan elektrik, istilah pembumian elektrik merujuk kepada sambungan litar elektrik ke bumi, sama ada secara fizikal ataupun sebagai "laluan balik" ke punca kuasa elektrik, bergantung kepada aplikasi yang digunakan.
 
Terdapat beberapa sebab mengapa litar elektrik dibumikan. Dalam sistem bekalan elektrik sesalur, sambungan ke bumi dilakukan atas sebab keselamatan, terutamanya bagi mencegah bahagian peralatan elektrik yang dapat disentuh oleh manusia daripada diuja dengan voltan tinggi yang berbahaya akibat kegagalan penebat elektrik, atau dengan kata lain, melindungi pengguna daripada kebocoran arus elektrik dengan menyediakan satu laluan elektrik ke bumi. Sambungan ke bumi juga boleh mengehadkan pembentukan cas elektrik statik semasa mengendalikan bahan mudah terbakar ataupun semasa membaiki peralatan elektronik. Bagi pendawaian kenderaan pula, semua peralatan elektrik kenderaan dibumikan ke badan kenderaan (tanpa sambungan secara fizikal ke bumi) bagi menyediakan satu laluan balik ke bateri, sekaligus menjimatkan penggunaan kuprum.


Keperluan bagi membumikan peralatan elektrik bermula hasil ciptaan plag 3 pin oleh Philip F. Labre, semasa beliau masih menuntut di Sekolah Kejuruteraan Milwaukee (MSOE). Dikatakan tuan rumahnya mempunyai seekor kucing yang suka melanggar kipasnya semasa datang dari arah tingkap. Setiap kali dia memalamkan kipas itu semula, dia akan terkena kejutan elektrik. Labre mendapati bahawa jika plag tersebut dibumikan, arus elektrik akan pergi ke bumi dan bukannya ke badan tuan rumahnya. Beliau memohon dan seterusnya diberikan paten bagi plag dan soket yang dibumikan pada 5 Jun 1928.Setelah keperluan bagi pemasangan yang lebih selamat menjadi semakin ketara, sistem 3 pin yang dibumikan diwajibkan di kebanyakan negara industri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...